Saturday, December 15, 2007

Adab Yang Baik Disemai Dari Kecil

Melentur buluh biar dari rebung. Serangkai kata dari pepatah orang tua mengingatkan kita betapa proses pendidikan hendaklah dimulakan sedari usia yang awal. Antara tanggungjawab yang amat penting sekali dan wajib diusahakan oleh ibu bapa ialah membiasakan anak-anak dengan adab dan budi pekerti mulia. Supaya dewasanya kelak, akhlaknya terpancar dari diri, lantaran ia telah mendarah daging dan menjadi pakaian peribadi.

Sabda Rasulullah s.a.w.:“Tiada suatu pemberian yang diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya lebih utama daripada budi pekerti yang baik.” (Riwayat Ibnu Majah)

Adab Bangun Tidur

  • Menjelang waktu tidur, ingat-ingatkan anak-anak tentang niatnya menjelang tidur iaitu supaya dengan tidur kita mampu mengerjakan solat, memiliki tubuh badan yang sihat dan dapat belajar dengan tenang. Jangan dijadikan amalan anak-anak tidur lewat kerana impak negtifnya pada kesihatan di samping menjejaskan tumpuan di sekolah.
  • Pesankan anak-anak jangan tidur setelah solat Subuh dan solat Asar kerana mewarisi kepapaan dan kegilaan.
  • Pesankan anak-anak jangan tidur sejurus selepas makan kerana bukan sahaja tidak baik pada kesihatan malah mewarisi sifat malas.
  • Ajarkanlah anak-anak berwuduk sebelum tidur.
  • Ajarkanlah anak-anak supaya tidur di atas sisi yang kanan. Dari petunjuk yang diberi Nabi s.a.w. dalam hal ini iaitu: “Hendaklah tidur mengiring ke kanan, sebab tidur mengiring ke kiri itu akan membahayakan jantung, dan menyesakkan pernafasan.”
  • Pastikan anak-anak mengenakan pakaian tidur dan memberus gigi sebelum tidur.Pastikan alas tidur dikibas dahulu sebelum mereka merebahkan badan.
  • Pesankan dan nasihati anak-anak agar memaafkan setiap kesalahan orang lain sebelum tidur. Di samping didiklah dia meminta maaf kepada ibu bapa dan adik-beradik yang lain.
  • Ajarkanlah anak-anak doa sebelum tidur:Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan hanya kepada-Nya kami kembali.”
  • Bimbinglah anak-anak membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas serta ayat Kursi sebelum melelapkan mata. Fadilat mengamalkan surah ini, diri akan terhindar dari gangguan jin dan manusia.

Pada waktu pagi:

  • Alangkah baiknya jika tatkala anak bangun tidur, kita iringi kesedaran mereka itu dengan zikir kepada Allah iaitu dengan membaca doa ini:“Segala puji-pujian bagi Allah, yang telah menghidupkan kita, sesudah dimatikan kita, dan kepada-Nyalah kita akan kembali.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Adab Masuk Bilik Air dan Tandas

Apabila si anak mempunyai hajat untuk memasuki bilik air, maka ajarilah dia adab-adab masuk ke tandas dan adab-adab istinja’ (mensucikan diri dari najis):

  • Ajarlah anak supaya dia mendahulukan kakinya yang kiri, ketika hendak masuk ke dalam bilik air, dan mendahulukan kaki kanan ketika hendak keluar. Ini kerana ajaran agama menuntut kita memulakan dengan kanan pada hal-hal yang baik, dan memulakan yang kiri pada hal-hal yang kurang baik.
  • Pakailah selipar atau apa saja bentuk alas kaki. Tekankan pada anak-anak supaya menutup kepala dengan kopiah dan seumpamanya.
  • Ajarlah anak ketika masuk bilik air supaya membaca doa ini:“Ya Allah, ya Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung diri kepada-Mu daripada syaitan jantan dan syaitan betina.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
  • Ajarkanlah anak supaya tidak membawa bersamanya apa-apa yang tertulis nama Allah, sebagaimana yang diriwayatkan dari Anas r.a. katanya: “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila masuk ke dalam tandas, diletakkannya cincinnya di luar yang di atasnya terukir nama ‘Muhammad Rasul Allah’.” (Riwayat al-Hakim)
  • Ajarkanlah anak supaya tidak menghadap kiblat, dan tidak pula membelakangkan kiblat, sebagaimana pesanan baginda dalam sabdanya:“Jika kamu hendak buang air besar, maka janganlah kamu menghadap kiblat, dan janganlah membelakanginya, akan tetapi hadapilah ke timur dan ke barat. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
  • Ajarkanlah anak supaya tidak melepaskan hajat di tempat teduhan ramai, di perjalanan dan di tempat-tempat duduk awam. Sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., katanya, “Telah berkata Rasulullah s.a.w.: ‘Jagalah diri kamu dari dua kutukan!’ Para Sahabat bertanya, ‘Apa itu dua kutukan?’ Jawab baginda, ‘Orang yang melepaskan hajatnya di jalanan orang ramai, atau di tempat teduhan mereka’.” (Riwayat Muslim dan Ahmad)
  • Ajarkanlah anak supaya tidak berkata-kata sekalipun menjawab salam pada waktu melepaskan hajat. Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim dan selainnya, daripada Ibnu Umar bahawasanya seorang lelaki di sisi Nabi s.a.w ketika itu baginda sedang buang air kecil, maka orang itu memberi salam kepadanya, tetapi baginda tidak menjawab salamnya.
  • Ajarkanlah anak supaya berdehem-dehem supaya tus air kencingnya. Ajarkan padanya cara-cara menyuci dirinya dari tempat najis supaya tidak terkena pada baju atau badannya. Kebanyakan seksa kubur berlaku ke atas orang yang tidak mengetus kencingnya iaitu sebagaimana diriwayatkan oleh ad-Daraquthni daripada Abu Hurairah r.a. katanya, “Telah berkata Rasulullah s.a.w.: ‘Tuskanlah dirimu dari kencing, sebab umumnya seksa kubur itu dari tidak mengetus dari kencing’.”
  • Ajarkanlah anak supaya tidak beristinjak dengan tangan kanan. Abu Qatadah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. berkata, “Jika seseorang kamu buang air kecil, maka janganlah dia memegang zakarnya (kemaluannya) dengan tangan kanannya, dan janganlah berisitnja’ dengan tangan kanannya....” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
  • Ajarkanlah anak-anak apabila hendak keluar dari tandas mendahulukan kaki kanan, sambil membaca doa ini:“Kupohon keampunan daripada-Mu.” (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)“Segala pujian bagi Allah yang telah menghilangkan bahaya daripadaku dan telah memulihkanku.” (Riwayat Ibnu Majah)
  • Ajarkanlah anak-anak ketika keluar dari tandas supaya membasuh kedua tangan dengan air dan sabun; iaitu sebagaimana yang diriwayatkan oleh an-Nasa’i daripada Jarir bin Abdullah r.a., katanya: Aku bersama Nabi s.a.w. lalu baginda pergi ke tandas, serta menunaikan hajatnya. Kemudian baginda berkata: Wahai Jarir, bawakan air! Aku pun membawakan air kepadanya, dan baginda beristinja’, lalu baginda menggosokkan tangannya pada tanah. (Sekarang tanah boleh digantikan dengan sabun).

Koleksi ANIS /Oleh: Norhashimah Abd Rahman

2 comments:

Anonymous said...

Tuan blog ni seorang Ustazah ke? Sejuk hati....

Anonymous said...

malu,,,berpesan yang baik bukan hanya untuk ustazah..